Tiap Kali Kuliah Bermula:)


* Tiap kali kuliah bermula, prof. sering meminta pendapat student berkenaan dengan isu yang heboh didemontrasikan sekarang. Aku adalah antara student yang tidak bersuara memberikan pendapat kalau nak dibandingkan dengan mereka-mereka yang lantang bersuara. Kerana, bagi aku isu ini sepatutnya tidak dijadikan isu kerana pengunaan nama Allah sudah lama diamalkan oleh masyarakat non Muslim. Satu lagi aku tidaklah terlalu arif berkenaan dengan Ilmu Perbandingan Agama, cumanya sewaktu di Indonesia dulu aku pernah berkawan dengan student dari jurusan itu dan pernah juga mengikuti seminar perdebatan antara Islam dan Kristen.

* Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

* Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

* Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

** Kesimpulannya, bersandarkan pendapat Ayah Cik dan Tok Guru, saya berpendapat kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

**Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama. Kesannya daripada isu ini yang tidak ditangani oleh kerajaan secara bijaksana menyebabkan Negara menjadi huru-hara disebabkan isu-isu yang berlaku baru-baru ini. Tok Guru mendakwa kejadian serangan membakar gereja berlaku kerana Umno telah menghilangkan sensitiviti dosa dan pahala dalam masyarakat di negara ini khususnya orang Melayu itu sendiri. Kesan hilangnya sensitiviti itu, katanya telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak menghormati agama lain sehingga membakar gereja dan mengarak kepala lembu seperti berlaku di Shah Alam baru-baru ini.
Sekadar pandangan. Wallahua’alam.
0 ulasan:
/

sahabat